Flowstate Advisors ditubuhkan untuk membuktikan firma tempatan mampu bersaing dengan syarikat perunding antarabangsa bagi mendapatkan tugasan besar, kata bekas menteri kesihatan itu.

Khairy Jamaluddin berkata Malaysia tidak kekurangan bakat, tetapi ramai individu terbaik membina kerjaya di luar negara. (Gambar Flowstate Advisors)
PETALING JAYA:Bekas menteri kesihatan Khairy Jamaluddin dilantik sebagai pengerusi eksekutif Flowstate Advisors, sebuah firma penasihat bebas tempatan.
Firma yang berpangkalan di Selangor itu menawarkan khidmat nasihat dalam bidang sektor awam, strategi dan urus niaga di bawah satu bumbung.
Khairy berkata Flowstate ditubuhkan bagi membuktikan firma Malaysia mampu bersaing dengan firma perunding antarabangsa yang mempunyai reputasi besar untuk mendapatkan tugasan penting.
“Malaysia tidak pernah kekurangan bakat.
“Namun, terlalu ramai bakat terbaik negara membina kerjaya di luar negara manakala terlalu banyak tugasan penting diberikan kepada jenama global kerana faktor kebiasaan, bukan berdasarkan merit,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata Flowstate mengamalkan model berasaskan rakan kongsi, dengan individu yang memulakan sesuatu tugasan akan kekal bertanggungjawab sehingga projek itu disiapkan.
“Rakan kongsi yang bertemu anda dalam mesyuarat pertama akan kekal bersama anda sehingga kerja itu selesai,” katanya merujuk kepada pasukan pengasas firma itu yang terdiri daripada individu berpengalaman dalam kerajaan serta firma profesional terkemuka.
Khairy berkata pendekatan itu bukan sekadar slogan, sebaliknya menjadi asas kepada cara firma tersebut dibangunkan.
Rakan pengasas Flowstate terdiri daripada Khairi Sulaiman, Dimishtra Sittampalam, Rizuan Ahamad, Ezri Othman dan Fakhrulrazi Fauzi.
URL Artikel:
https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2026/08/26/kj-terajui-firma-penasihat-baharu