Bekas menteri kesihatan itu mahu MYNIC Bhd dedah pemilik focusmalaysia.my dan individu disebalik satu artikel yang disiarkan.

Khairy Jamaluddin memohon dokumen berkaitan pendaftaran domain, termasuk tarikh asal pendaftaran dan tarikh luput, pendaftar bertauliah MYNIC yang terbabit serta rekod sebarang perubahan pemilikan.
PETALING JAYA:Bekas menteri kesihatan Khairy Jamaluddin memohon perintah mahkamah supaya pendaftar domain.my, MYNIC Bhd mendedahkan pemilik sebuah portal berita dalam talian dan individu di sebalik artikel yang didakwa memfitnah beliau.
Menurut laporan New Straits Times, Khairy memfailkan tindakan sivil itu bagi mendapatkan identiti pemilik berdaftar bagi domain focusmalaysia.my.
Ini susulan penerbitan sebuah artikel di portal itu bertajuk ’10 Sebab Mengapa KJ Tidak Layak Menjadi Perdana Menteri, Rakyat Malaysia Perlu Meneliti Rekod Masa Lalunya Dengan Teliti’ pada 10 Mac lalu oleh penulis yang menggunakan nama samaran ‘pemerhati rasuah’.
Khairy berkata identiti penulis yang menggunakan nama samaran ‘pemerhati rasuah’ itu tidak diketahui dan dipastikan tanpa campur tangan mahkamah.
Katanya, peguamnya mengeluarkan surat tuntutan kepada Focus Malaysia Sdn Bhd pada 13 Mac lalu, namun syarikat itu menafikan pemilikan terhadap laman web terbabit dengan alasan sudah melupuskan keseluruhan perniagaannya sekitar 2018.
Beliau memohon dokumen berkaitan pendaftaran domain, termasuk tarikh asal pendaftaran dan tarikh luput, pendaftar bertauliah MYNIC yang terbabit serta rekod sebarang perubahan pemilikan.
Dalam afidavit jawapan, MYNIC berkata pihaknya mempunyai maklumat berkaitan pemilikan itu dan tiada halangan untuk mendedahkan maklumat terbabit sekiranya diarahkan mahkamah.
MYNIC berkata syarikat yang berdaftar sebagai pemilik domain pada 10 Mac 2026, iaitu ketika artikel didakwa berunsur fitnah itu diterbitkan, kekal sebagai pemilik berdaftar semasa.
Bagaimanapun, MYNIC membantah permohonan Khairy untuk mendapatkan dokumen surat-menyurat dan komunikasi antara pendaftaran domain itu, pihak yang berdaftar serta pendaftar bertauliah dengan alasan bahan terbabit tidak relevan atau tidak perlu bagi cadangan prosiding saman fitnah itu.
Syarikat itu menegaskan bahawa ia adalah pihak ketiga yang tidak bersalah dan bukan defendan yang dinamakan dalam saman fitnah Khairy.