
BONGAWAN: Tindakan bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin, turun ke Sabah membantu kempen calon daripada tiga parti termasuk Barisan Nasional (BN) sempena Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17), adalah haknya sebagai individu.
Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, mengambil maklum perkara terbabit dan turut meneliti ucapan bekas Menteri Kesihatan itu ketika program kempen calon BN bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bongawan, Datuk Mohamad Alamin, semalam.
“Saya meneliti wawancara beliau turun ke Sabah adalah membantu calon-calon yang juga sahabat peribadi beliau.
“Beliau turun membantu empat calon dan hanya seorang daripada BN manakala tiga calon lagi bukan daripada BN.
“Oleh kerana itu sahabat beliau, ia hak beliau untuk membantu calon-calon yang berkenaan,” katanya kepada pemberita selepas Program Sentuhan Kasih Desa @ Bongawan bertempat di Dewan Terbuka Pekan Bongawan, di sini, hari ini.
Menerusi media sosial, Khairy memuat naik hantaran jadual programnya selama dua hari di Sabah bagi beberapa yang yang bertanding dalam PRN17.
Sohamad, Khairy turun membantu kempen calon Pakatan Harapan (PH) kerusi Sindumin, Datuk Yamani Hafez Musa dan kerusi Melalap, Datuk Jamawi Jaafar.
Bekas Ketua Pemuda UMNO itu turut membantu kempen calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bagi kerusi Tempasuk, Datuk Arsad Bistari.
Dalam perkembangan berkaitan, Ahmad Zahid berpuas hati dengan fasa akhir kempen di Sabah namun berharap BN mampu mencapai kemenangan dalam PRN17.
“Calon-calon BN adalah calon ‘underdog’. Kita bekerja dengan kaedah menyantuni pengundi.
“Kita yakin kerja-kerja yang telah dilakukan itu memuaskan hati pengundi. Insya-Allah, mereka akan memberikan undi kepada kami
“Bagaimanapun, kita harap di fasa terakhir ini, kita tidak mengalami masalah memenangi kerusi yang menjadi sasaran kita.
“Contohnya, calon dicuri parti lain. Saya minta pengundi BN terus konsisten dan tetapkan pendirian.
“Kalau mereka mahu dan rindu BN, teruslah mengundi calon-calon yang mewakili BN,” katanya.
URL Artikel:
https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2025/11/1477426/kj-datang-bantu-kempen-atas-kapasiti-individu