Bekas menteri berkata pihak yang buat gesaan patut minta laporan pengurusan dan audit terperinci aset TH dipindahkan kepada UJSB.

Bekas ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin berkata lebih baik dan matang bagi Ahli Parlimen PN membahaskan laporan RCI TH Selasa lalu daripada bertindak keluar Dewan Rakyat.
PETALING JAYA:Bekas ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin berkata terlalu awal untuk menggesa satu lagi Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat langkah diambil untuk menyusun semula Lembaga Tabung Haji (TH).
Sebaliknya, beliau mencadangkan mereka yang mendesak RCI baharu itu meminta laporan pengurusan dan audit terperinci terhadap aset TH yang dipindahkan kepada Urusharta Jamaah Sdn Bhd (UJSB), sebuah syarikat tujuan khas ditubuhkan oleh Kementerian Kewangan.
“Laporan tersebut mungkin mendedahkan beberapa perkara. Salah satunya ialah mungkin aset itu memang teruk hingga tidak boleh dipulihkan, atau perancangan pemulihan aset tidak berjalan seperti yang dirancang.
“Anda boleh kritik bahawa rancangan itu teruk dan berkata Pakatan Harapan (PH) punya perancangan tidak membawa penyelesaian. Dan itu sendiri sudah menjadi tamparan kepada PH.
“Tetapi tak adalah sampai nak adakan RCI (baharu),” kata bekas menteri kesihatan dalam episod terbaru audio siar Keluar Sekejap.
Ketika membahaskan laporan RCI TH di Dewan Rakyat pada Selasa, Ahli Parlimen Tampin Isam Isa daripada Barisan Nasional (BN) mencadangkan supaya siasatan meliputi tempoh 2021 hingga 2025 diadakan, kerana RCI terdahulu hanya merangkumi tempoh 2014 hingga 2020.
Ahli Parlimen Kinabatangan daripada BN, Kurniawan Naim Moktar, pula berkata audit terhadap TH tidak sepatutnya berhenti separuh jalan.
Beliau mahu RCI baharu meneliti pemulihan aset UJSB, pelupusan aset, aliran tunai, kos pengurusan serta penyusunan semula sukuk.
Ahli Parlimen Jelutong daripada PH, RSN Rayer, turut berkata siasatan baharu perlu mengenal pasti pihak yang bertanggungjawab terhadap masalah kewangan dan pengurusan institusi tersebut.
Sikap matang dan bahas laporan RCI
Khairy turut mengkritik Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) yang bertindak keluar Dewan Rakyat dan tidak membahaskan laporan tersebut kerana Perdana Menteri Anwar Ibrahim tidak hadir.
Beliau berkata, lebih wajar dan matang jika mereka kekal dalam Dewan untuk mengambil bahagian dalam perbahasan.
Menurut Khairy, Anwar yang juga menteri kewangan sepatutnya hadir, tetapi prosedur perubatan yang tidak dapat dielakkan menyebabkan perdana menteri tidak hadir.
“Sama ada prosedur itu elektif atau tidak, ia tetap perlu dilakukan. Jadi saya fikir keputusan yang lebih baik dan matang ialah kekal dan berbahas,” katanya.
Beliau berkata, Muhyiddin Yassin memilih untuk kekal dan mengambil bahagian dalam perbahasan.
Walaupun perbahasan mungkin tidak menjawab semua persoalan kerana ketiadaan perdana menteri, Khairy berkata ia tetap dapat menunjukkan bahawa semua pihak — BN, PH dan PN — mengakui keseriusan laporan RCI serta keperluan membincangkan masa depan TH.
Anwar menjalani pembedahan laparoskopi elektif pada Isnin bagi merawat hernia perut, menyebabkan PN meminta persidangan khas itu ditangguhkan ke tarikh lain.
Speaker Dewan Rakyat, Johari Abdul, menolak permintaan itu menyebabkan sebilangan besar Ahli Parlimen PN bertindak keluar dari Dewan.
Bagaimanapun, Ahli Parlimen Bersatu yang menyokong Muhyiddin tidak menyertai tindakan itu dan kekal dalam Dewan untuk mengikuti perbahasan.