
(Gambar fail) Bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin yang juga bekas Ketua Pemuda UMNO. – FOTO BERNAMA
KUALA LUMPUR: ASEAN masih gagal menangani isu jerebu rentas sempadan yang berulang setiap tahun, kata bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin.
Beliau berkata, ASEAN sebenarnya mempunyai kerangka kerjasama khusus bagi menangani masalah pencemaran rentas sempadan, namun usaha berkenaan masih belum membuahkan penyelesaian berkesan.
Katanya, jerebu yang melanda rantau ini berpunca daripada kebakaran hutan di Indonesia, manakala antara faktor didakwa menyebabkan masalah itu sukar diselesaikan ialah kelemahan penguatkuasaan terhadap pihak yang bertanggungjawab menyebabkan kebakaran.
“Tindak balas Kerajaan Indonesia terhadap kebakaran juga sering bersifat pasif dan reaktif.
“Ini kerana tumpuan diberikan kepada pemadaman kebakaran dan langkah sementara seperti pembenihan awan apabila keadaan menjadi semakin buruk,” katanya pada program Podcast Keluar Sekejap.
Bekas Menteri Kesihatan itu berpandangan punca kedua ialah kelemahan mekanisme yang tersedia pada peringkat ASEAN, meskipun rantau ini mempunyai ‘ASEAN Agreement on Transboundary Haze Pollution’ sejak 2002.
“Punca ketiga, prinsip tidak campur tangan dalam urusan negara anggota ASEAN turut menjadi antara faktor yang mengehadkan tindakan negara jiran terhadap isu jerebu rentas sempadan.
“Saya penyokong ASEAN, dan kritikan terhadap kelemahan ASEAN tidak bermaksud menolak kepentingan organisasi serantau ini.
“Masalah jerebu adalah acara tahunan yang saya lihat tidak ada jalan penyelesaian,” katanya.