Khairy Jamaluddin kata AI tidak seharusnya dijadikan jalan pintas untuk mendapatkan jawapan yang sepatutnya diperoleh melalui pembacaan, perbincangan atau pemikiran.

Bekas menteri Khairy Jamaluddin bersama bekas pengarah ekonomi di Jabatan Perdana Menteri Shahril Hamdan pada dialog anjuran Kelas Sekejap di Ampang.
KUALA LUMPUR:Kecerdasan buatan (AI) perlu berfungsi sebagai pembantu kepada kanak-kanak membina kemahiran dan bukan untuk mengambil alih proses berfikir, kata Khairy Jamaluddin, pengasas bersama rangkaian pembelajaran berasaskan AI, Kelas Sekejap.
Bekas menteri ini berkata AI boleh digunakan untuk membantu kanak-kanak membina kemahiran dan tidak seharusnya dijadikan jalan pintas untuk mendapatkan jawapan yang sepatutnya diperoleh melalui pembacaan, perbincangan atau pemikiran
Khairy, yang juga hos audio siar popular Keluar Sekejap, juga menyeru ibu bapa supaya memberi perhatian kepada tujuan teknologi itu digunakan.
“Pada saya, kita perlu melihat bukan sahaja berapa jam kita membenarkan mereka menggunakannya, tetapi untuk apa kita membenarkan mereka menggunakannya.
“AI sepatutnya menjadi ‘co-pilot’, bukan ‘pilot’ sehingga anak kita hanya menjadi penumpang,” katanya pada suatu dialog anjuran Kelas Sekejap di Ampang.
Diasaskan bersama bekas pengarah ekonomi di Jabatan Perdana Menteri Shahril Hamdan dan Isaac Tan, Kelas Sekejap dilancarkan pada Januari 2026 sebagai aplikasi pembelajaran bahasa Inggeris, dan kini digunakan di sekolah sebagai pelengkap kepada pembelajaran di dalam bilik darjah.
Menggunakan pendekatan ‘learn by talking’ (belajar melalui perbualan), Kelas Sekejap membolehkan pengguna berbual dengan tutor janaan AI yang disesuaikan mengikut tahap, minat dan matlamat.
Tan berkata pengguna Kelas Sekejap kini memanfaatkan platform itu bagi meningkatkan kemahiran kerjaya seperti pengurusan pasukan, rundingan gaji dan persediaan menghadapi perbualan sukar di tempat kerja.
Beliau mengumumkan Kelas Sekejap merancang memperluaskan pembelajaran kepada bahasa Melayu, Mandarin dan literasi kewangan, selain mengembangkan penggunaan platform itu bagi latihan pekerja menerusi Kelas Sekejap for Enterprise.